Pada Pada 13 hingga 14 Mei 2026 – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah menganjurkan Program Lawatan Akademik selama dua hari satu malam ke Kompleks Perladangan Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA). Program bertemakan “Integrasi Ekonomi, Alam Sekitar dan Keusahawanan dalam Pembangunan Komuniti Lestari di Ladang” ini diadakan untuk memberi pendedahan sebenar kepada para peserta tentang pengurusan industri perladangan dan kelestarian alam sekitar.
Perjalanan program ini bermula dengan pendaftaran masuk para peserta di Ladang KOSMA pada jam 1.00 tengah hari. Selepas itu, semua peserta bergerak masuk ke auditorium bagi menghadiri Majlis Perasmian Program yang bermula secara rasmi pada jam 2.30 petang. Majlis tersebut dihadiri oleh Pengerusi KOSMA, YH Dato’ Haji Zamri bin Haji Mohamed bersama barisan Ahli Lembaga KOSMA. Atur cara perasmian dimeriahkan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Negeri Pahang, tayangan video korporat, ucapan aluan, bacaan doa oleh Imam Masjid Tengku Mahkota Abdullah KOSMA, serta ucapan daripada wakil UniSZA dan ucapan perasmian oleh YH Dato’ Haji Zamri bin Mohamed Pengerusi KOSMA sebelum diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati.
Selesai majlis perasmian, para peserta terus dibawa memulakan aktiviti lapangan dengan melawat ke tapak ladang solar bersama En. Muhammad Firdaus bin Razali daripada FMAERO (M) Sdn Bhd, diikuti dengan lawatan ke kilang pemprosesan minyak sawit bersama Pengurus Kilang Wujud Wawasan Sdn Bhd, En. Mohd. Hafiza bin Ibrahim. Selepas berehat dan solat asar, pengisian ilmiah mengenai sistem solar serta pengoperasian kilang minyak tersebut diperincikan lagi menerusi sesi pembentangan teknikal dan sesi soal jawab (Q&A) yang berlangsung pada sebelah malamnya.
Aktiviti lawatan diteruskan lagi pada keesokan paginya dengan memfokuskan kepada kerja-kerja praktikal di lapangan. Para peserta telah bergerak ke Ladang KOSMA 7 untuk melihat sendiri aktiviti penanaman semula pokok sawit bersama Penolong Pengurus Ladang, En. Mohd. Faiz Hafizudin bin Juma’at. Seterusnya, mereka berpeluang menyaksikan demonstrasi aktiviti ladang seperti cara penuaian hasil, pembajaan, dan kawalan perosak tanaman yang dikendalikan oleh Pengurus Ladang Bukit Serlai, En. Dicky Harrys bin Jamin.
Selepas selesai makan tengah hari dan urusan daftar keluar, program diteruskan dengan sesi perkongsian petang mengenai “Pengurusan Tenaga Kerja dan Kawalan Kualiti” bersama En. Muhammad Faizal bin Suderman daripada Jabatan Tenaga Kerja Asing. Sebelum bertolak pulang, satu sesi khas antara pensyarah dan pelajar telah diadakan bagi merumuskan segala ilmu yang telah dipelajari sepanjang lawatan tersebut. Program akademik ini berakhir sepenuhnya selepas majlis penutup dan jamuan minum petang.










