KUALA KRAU, 16 Jun 2026 – Koperasi Serbaguna Makmur Berhad (KOSMA) telah menghadiri Majlis Perasmian Balai Polis Kuala Krau Baharu yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Balai Polis Kuala Krau yang baharu pada hari ini.
KOSMA telah diwakili oleh Dato’ Haji Zamri bin Haji Mohamed, bersama barisan kepimpinan koperasi iaitu Dato’ Haji Mohd Sabri bin Haji Abdullah selaku Timbalan Pengerusi, Tuan Cr. Abdul Hamid bin Ghazali selaku Setiausaha dan Puan Hajah Zuraida binti Awang Said selaku Bendahari.
Majlis tersebut bukan sahaja menandakan pembukaan rasmi Balai Polis Kuala Krau yang baharu, malah turut menjadi platform bagi memperkukuhkan hubungan kerjasama antara pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan komuniti setempat dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.
Sebagai tanda komitmen terhadap tanggungjawab sosial korporat dan kebajikan masyarakat, KOSMA telah memberikan sumbangan bagi pembelian sebuah van jenazah untuk kegunaan Polis Pahang. Sumbangan ini diharap dapat membantu melancarkan urusan pengurusan jenazah serta memberi manfaat kepada masyarakat yang memerlukan, khususnya dalam situasi kecemasan dan kebajikan.
Menurut pihak KOSMA, sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan koperasi untuk menyokong inisiatif kebajikan dan pembangunan komuniti, sejajar dengan prinsip koperasi yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan anggota dan masyarakat setempat.
KOSMA turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia, khususnya Kontinjen Pahang, atas jemputan dan kerjasama yang diberikan. Diharapkan hubungan baik yang terjalin antara KOSMA dan pihak berkuasa akan terus diperkukuhkan demi manfaat bersama pada masa hadapan.











