Pada 20 Jun 2026 – Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) telah berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kali Ke-41 pada 20 Jun 2026 bertempat di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Gambang.
Mesyuarat tahunan yang merupakan platform penting bagi membincangkan hala tuju serta perkembangan koperasi itu telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila dihadiri seramai 1,234 orang Anggota Koperasi.
Majlis berprestij ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang. Kehadiran beliau menyerlahkan pengiktirafan terhadap peranan koperasi sebagai pemangkin pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat di negeri Pahang.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menzahirkan penghargaan terhadap komitmen KOSMA dalam memperkukuhkan gerakan koperasi serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi anggota dan komuniti setempat. Beliau turut berharap agar KOSMA terus berkembang maju melalui pengurusan yang cekap, berintegriti dan berpandangan jauh.
Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-41 ini turut menyaksikan proses pemilihan kepimpinan koperasi apabila seramai enam (6) orang anggota telah menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan Anggota Lembaga KOSMA. Pemilihan tersebut memberi peluang kepada anggota untuk memilih barisan kepimpinan yang berwibawa bagi menerajui koperasi ke arah pencapaian yang lebih cemerlang pada masa hadapan.
















