09-517 7977 / 517 7289

admin@kosma.com.my

Isnin - Jumaat, 8 pagi - 7 petang

PENGUMUMAN DIVIDEN MODAL SYER KOPERASI SERBAUSAHA MAKMUR BERHAD (KOSMA) BAGI TAHUN KEWANGAN BERAKHIR 31 DISEMBER 2025

KENYATAAN MEDIA

YAB DATO’ SRI DIRAJA HAJI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL

MENTERI BESAR PAHANG

PENGUMUMAN DIVIDEN MODAL SYER KOPERASI SERBAUSAHA MAKMUR BERHAD (KOSMA) BAGI TAHUN KEWANGAN BERAKHIR 31 DISEMBER 2025

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) terus mencatatkan prestasi kewangan yang amat memberangsangkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

Bagi tahun kewangan 2025, KOSMA berjaya merekodkan pendapatan keseluruhan berjumlah RM334.24 juta, meningkat sebanyak RM43.46 juta berbanding RM290.78 juta yang dicatatkan pada tahun 2024. Pada masa yang sama, keuntungan bersih turut meningkat kepada RM102.30 juta, berbanding RM84.02 juta pada tahun sebelumnya, iaitu pertumbuhan sebanyak RM18.28 juta.

Prestasi cemerlang ini mencerminkan pengukuhan tadbir urus, kecekapan pengurusan serta kejayaan strategi perniagaan yang dilaksanakan oleh KOSMA dalam mengembangkan aktiviti ekonominya. Pencapaian ini juga membuktikan bahawa KOSMA kekal sebagai sebuah koperasi yang berdaya saing dan mampu memberikan pulangan yang mampan kepada para anggotanya.

Kecemerlangan ini turut mendapat pengiktirafan di peringkat nasional apabila Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) telah diiktiraf sebagai Koperasi Ke-6 Terbaik Malaysia bagi tahun 2026 dalam senarai Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2026 yang diumumkan sempena Sambutan Hari Koperasi Negara 2026 pada 4 Julai 2026 lalu.

Sehubungan itu, sukacita saya mengumumkan bahawa Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah meluluskan pembayaran dividen modal syer KOSMA bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 pada kadar 60 peratus, melibatkan jumlah pembayaran dividen sebanyak RM35.32 juta kepada seramai 1,469 orang anggota yang layak.

Kadar dividen modal syer sebanyak 60 peratus ini merupakan kadar dividen tertinggi yang pernah dicapai dalam sejarah KOSMA sejak penubuhannya pada tahun 1967.

Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan kedudukan kewangan KOSMA yang kukuh, malah membuktikan keberkesanan pengurusan koperasi dalam menjana keuntungan secara mampan serta mengembalikan manfaat tersebut kepada para anggotanya.

Pembayaran dividen pada kadar tertinggi dalam sejarah ini merupakan penghargaan kepada seluruh anggota yang terus memberikan kepercayaan dan sokongan kepada KOSMA. Ia juga membuktikan bahawa gerakan koperasi mampu menjadi instrumen penting dalam meningkatkan kesejahteraan ekonomi anggotanya melalui pengurusan yang cekap, telus dan berintegriti.

Kerajaan Negeri Pahang sentiasa menyokong pembangunan gerakan koperasi sebagai antara pemacu penting kepada pertumbuhan ekonomi negeri. KOSMA merupakan contoh terbaik bagaimana pengurusan yang berintegriti, berdaya maju dan berorientasikan prestasi mampu menghasilkan pulangan yang signifikan kepada anggota serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negeri.

Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pengerusi KOSMA, Dato’ Haji Zamri bin Mohamed dan barisan Anggota Lembaga Koperasi, pihak pengurusan dan seluruh warga kerja KOSMA di atas  pencapaian yang membanggakan ini. Saya juga mengucapkan tahniah kepada seluruh anggota KOSMA yang akan menikmati agihan dividen tertinggi dalam sejarah koperasi ini. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk KOSMA terus melakar lebih banyak pencapaian cemerlang pada masa hadapan, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara koperasi terbaik di Negeri Pahang dan Malaysia.

Sekian, terima kasih.

YAB DATO’ SRI DIRAJA HAJI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL

Menteri Besar Pahang

Kongsikan