09-517 7977 / 517 7289

admin@kosma.com.my

Isnin - Jumaat, 8 pagi - 7 petang

TAKLIMAT MENGENAI CADANGAN PEMBELIAN BANGUNAN HOTEL BOUTIQUE SALAM KING’S PARK, GENTING HIGHLANDS

23 Julai 2026 | Genting Highlands, Pahang

Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) telah mengadakan Taklimat Mengenai Cadangan Pembelian Bangunan Hotel Boutique Salam King’s Park, Genting Highlands pada 23 Julai 2026 (Khamis) bagi menilai potensi pelaburan strategik yang mampu memperkukuhkan portfolio perniagaan koperasi serta menjana pulangan yang mampan kepada anggotanya.

Program yang berlangsung di King’s Park Sales Gallery, Genting Highlands dimulakan dengan sesi pendaftaran pada jam 10.45 pagi, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi KOSMA, Dato’ Haji Zamri bin Mohamed. Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak King’s Park Genting Highlands atas kesudian menerima kunjungan delegasi KOSMA serta berkongsi maklumat berkaitan cadangan pembelian Bangunan Hotel Boutique Salam King’s Park. Beliau turut menegaskan bahawa setiap cadangan pelaburan yang melibatkan KOSMA perlu dinilai secara menyeluruh, teliti dan profesional bagi memastikan keputusan yang dibuat dapat memberikan manfaat jangka panjang kepada koperasi dan seluruh anggotanya.

Turut hadir menjayakan program tersebut ialah Timbalan Pengerusi KOSMA, Dato’ Haji Mohd Sabri bin Haji Abdullah, Setiausaha KOSMA, Cr. Abdul Hamid bin Ghazali, barisan Anggota Lembaga KOSMA serta Ahli-ahli Jawatankuasa KOSMA.

Sesi taklimat pada sebelah pagi telah disampaikan oleh YH Dato’ Sri Michael Yong, Creator and Founder King’s Park Genting Highlands, yang membentangkan cadangan pembangunan Hotel Boutique Salam King’s Park. Pembentangan tersebut merangkumi konsep pembangunan, kemudahan yang disediakan, potensi komersial, prospek industri pelancongan di Genting Highlands serta peluang pelaburan yang ditawarkan kepada KOSMA.

Sesi pembentangan berlangsung dalam suasana yang interaktif apabila pelbagai persoalan telah dikemukakan oleh Ahli-ahli Jawatankuasa KOSMA kepada YH Dato’ Sri Michael Yong bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai cadangan pembelian bangunan tersebut. Antara perkara yang dibincangkan termasuk status pembangunan projek, model pengurusan hotel, potensi pulangan pelaburan, kadar penghunian, penyelenggaraan bangunan, nilai hartanah serta prospek pembangunan kawasan Genting Highlands pada masa hadapan. Setiap persoalan telah dijawab secara terperinci bagi memberikan gambaran yang jelas kepada semua jawatankuasa sebelum sebarang keputusan dipertimbangkan.

Selepas sesi makan tengah hari, delegasi KOSMA membuat daftar masuk di Geo Resort & Hotel, Genting Highlands sebelum menghadiri sesi kedua pada sebelah petang. Taklimat diteruskan oleh CCO & Associates Sdn. Bhd. melalui pembentangan Laporan Due Diligence yang merangkumi aspek kewangan, perundangan, teknikal dan pengurusan risiko berkaitan cadangan pembelian Bangunan Hotel Boutique Salam King’s Park.

Pembentangan tersebut memberikan penilaian yang lebih menyeluruh terhadap daya maju projek, sekali gus membantu Ahli-ahli Jawatankuasa KOSMA memahami setiap aspek penting sebelum membuat pertimbangan terhadap cadangan pelaburan tersebut.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen KOSMA dalam mengamalkan tadbir urus yang baik dengan memastikan setiap keputusan pelaburan dibuat berdasarkan penelitian yang komprehensif, maklumat yang tepat serta nasihat daripada pihak profesional. Pendekatan ini selaras dengan usaha KOSMA untuk terus memperkukuhkan kedudukan koperasi sebagai organisasi yang progresif, berdaya saing dan sentiasa mengutamakan kepentingan anggotanya melalui pelaburan yang mampan dan bernilai tinggi.

Kongsikan