09-517 7977 / 517 7289

admin@kosma.com.my

Isnin - Jumaat, 8 pagi - 7 petang

MESYUARAT DAN MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH PELANTIKAN JAWATANKUASA KOSMA BAGI SESI 2026/2027

23 Julai 2026 | Genting Highlands, Pahang

Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) telah mengadakan Mesyuarat dan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa KOSMA Bagi Sesi 2026/2027 pada 23 Julai 2026 (Khamis) bertempat di Grand Ballroom, Geo Resort & Hotel, Genting Highlands.

Program yang bermula pada 8.30 malam itu didahului dengan Ceramah Peranan Jawatankuasa Dalam Koperasi yang disampaikan oleh Puan Norhazlina binti Abdul Halim, Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Timur. Ceramah tersebut bertujuan memberikan pendedahan kepada jawatankuasa yang baharu dilantik mengenai tanggungjawab, peranan serta amanah yang perlu dipikul dalam memastikan tadbir urus koperasi dilaksanakan dengan berintegriti, berkesan dan mematuhi prinsip-prinsip koperasi.

Sepanjang sesi ceramah, para peserta turut diberikan penerangan mengenai fungsi jawatankuasa, aspek pematuhan kepada Undang-undang Kecil Koperasi, amalan tadbir urus terbaik serta kepentingan membuat keputusan secara kolektif demi menjaga kepentingan koperasi dan seluruh anggotanya. Sesi tersebut turut disusuli dengan soal jawab yang memberi peluang kepada para jawatankuasa mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan pelaksanaan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Kemuncak program menyaksikan berlangsungnya Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa KOSMA Bagi Sesi 2026/2027 yang disempurnakan oleh Pengerusi KOSMA, Dato’ Haji Zamri bin Mohamed. Penyampaian watikah ini merupakan simbolik pelantikan rasmi kepada Ahli-ahli Jawatankuasa yang telah diberikan amanah untuk menerajui jawatankuasa sepanjang sesi 2026/2027.

Dalam ucapannya, Dato’ Haji Zamri bin Mohamed mengucapkan tahniah kepada semua jawatankuasa yang telah dilantik serta berharap agar setiap individu dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan semangat kerja berpasukan. Beliau turut menekankan bahawa kejayaan sesebuah koperasi bergantung kepada kerjasama erat antara Anggota Lembaga, jawatankuasa dan pihak pengurusan dalam memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan berkesan demi manfaat seluruh anggota KOSMA.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Pengerusi KOSMA, Dato’ Haji Mohd Sabri bin Haji Abdullah, Setiausaha KOSMA, Cr. Abdul Hamid bin Ghazali, barisan Anggota Lembaga KOSMA, serta Ahli-ahli Jawatankuasa KOSMA yang baharu dilantik.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen KOSMA dalam memperkukuh sistem tadbir urus organisasi melalui pelantikan jawatankuasa yang berwibawa, di samping memastikan setiap jawatankuasa memahami peranan serta tanggungjawab yang diamanahkan. Dengan semangat kerjasama dan komitmen yang tinggi, KOSMA diyakini akan terus melangkah maju sebagai sebuah koperasi yang progresif, berdaya saing dan sentiasa mengutamakan kepentingan anggotanya.

Kongsikan