Pada 9 Oktober 2026 – Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) telah menerima kunjungan kerja Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, SAC Ahmad Sukarno bin Mohd Zahari, ke Pejabat Polis Bantuan KOSMA.
Kunjungan yang berlangsung di Dataran Pejabat Polis Bantuan KOSMA itu turut menyaksikan majlis penyerahan kad kuasa kepada empat anggota Polis Bantuan serta penyerahan sijil pelantikan bagi anggota berpangkat Sarjan dan Koperal. Majlis turut disertai pemakaian lencana Polis Bantuan KOSMA.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi KOSMA, YH Dato’ Indera Haji Zamri bin Haji Mohamed, dan turut dihadiri Timbalan Pengerusi KOSMA, YH Dato’ Haji Mohd Sabri bin Haji Abdullah, Anggota Lembaga Koperasi serta barisan pengurusan dan kakitangan perladangan KOSMA.
Lawatan ini turut merangkumi pemeriksaan barisan anggota Polis Bantuan, menandatangani buku lawatan serta taklimat ringkas berkaitan pengurusan dan penugasan Polis Bantuan KOSMA.
Kunjungan ini mencerminkan hubungan kerjasama antara KOSMA dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyokong aspek keselamatan serta memperkukuh pengurusan Polis Bantuan KOSMA.












