09-517 7977 / 517 7289

admin@kosma.com.my

Isnin - Jumaat, 8 pagi - 7 petang

Lawatan Kerja Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) ke Pusat Latihan dan Pejabat Amin Tours & Travel Di Dhaka, Bangladesh

28 Julai 2026 – Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) telah mengadakan lawatan kerja ke Pusat Latihan dan Pejabat Amin Tours & Travel. Utara Model Town, Dhaka, Bangladesh bagi meninjau kemudahan latihan yang disediakan kepada bakal pekerja dari Bangladesh sebelum ditempatkan di Malaysia. Lawatan ini turut menjadi platform perbincangan strategik mengenai proses kemasukan tenaga kerja Bangladesh ke KOSMA.

Delegasi KOSMA diketuai oleh Dato’ Haji Zamri bin Mohamed, Pengerusi KOSMA. Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi KOSMA, Dato’ Haji Mohd Sabri bin Haji Abdullah, Setiausaha KOSMA, Cr. Abdul Hamid bin Ghazali, bersama Pengurus Ladang Dicky Harrys bin Jamin, Bahagian Tenaga Asing Mohamad Firdaus bin Md. Khalid dan kakitangan KOSMA yang terlibat.

Ketibaan delegasi telah disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Amin Tours & Travel, Mr. Rahman, yang turut menyertai sesi perbincangan berhubung pelaksanaan proses pengambilan dan kemasukan tenaga kerja Bangladesh ke KOSMA. Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama antara kedua-dua pihak bagi memastikan tenaga kerja yang dibawa masuk memenuhi keperluan operasi serta standard yang ditetapkan oleh KOSMA.

Sepanjang lawatan, delegasi KOSMA diberi penerangan mengenai modul latihan yang dilaksanakan di pusat latihan tersebut. Pusat latihan berkenaan menyediakan latihan bahasa, latihan kemahiran serta latihan sivik yang bertujuan melengkapkan bakal pekerja dengan pengetahuan dan persediaan sebelum memulakan tugas di Malaysia. Melalui latihan yang komprehensif ini, pekerja diharap dapat menyesuaikan diri dengan lebih cepat serta menjalankan tugas secara lebih efisien, cekap, mahir dan berdisiplin.

Pusat latihan tersebut terletak kira-kira satu jam perjalanan dari Bandar Gulshan, Dhaka, dan dilengkapi dengan kemudahan pembelajaran serta penginapan yang kondusif bagi memastikan proses latihan berjalan dengan lancar.

Turut diadakan ialah sesi soal jawab dan perbincangan dua hala antara KOSMA dan pihak agensi bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan terhadap kualiti latihan yang diberikan kepada bakal pekerja. Dalam sesi tersebut, pihak KOSMA mencadangkan agar modul latihan diperkukuhkan dengan menambah sesi latihan praktikal dan simulasi berkaitan pekerjaan di ladang, termasuk teknik penuaian Buah Tandan Segar (BTS), penggunaan racun secara selamat serta aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan di ladang.

Cadangan tersebut mendapat perhatian positif daripada pihak agensi yang menyatakan komitmen untuk menilai dan menambah baik kandungan latihan agar lebih menepati keperluan industri perladangan di Malaysia.

Lawatan ini mencerminkan komitmen KOSMA dalam memastikan setiap tenaga kerja asing yang diambil bukan sahaja memenuhi syarat kemasukan negara, malah memiliki tahap kemahiran, disiplin dan kefahaman kerja yang tinggi. Pendekatan ini diyakini mampu meningkatkan produktiviti operasi, mengurangkan risiko di tempat kerja serta menyokong pembangunan sektor perladangan KOSMA secara mampan.

Kongsikan