Pada 28 Julai 2026– Delegasi KOSMA telah mengadakan Program Ziarah Kasih ke Kampung Kochoa, daerah Chandpur, Bangladesh, bersempena lawatan ke kampung halaman salah seorang pekerja Bangladesh yang telah lama berkhidmat bersama KOSMA, iaitu Mohamed Kausar Alam Ayub Ali.
Delegasi KOSMA diketuai oleh Dato’ Haji Zamri bin Mohamed, Pengerusi KOSMA. Turut mengiringi beliau ialah Dato’ Haji Mohd Sabri bin Haji Abdullah, Timbalan Pengerusi KOSMA. Cr. Abdul Hamid bin Ghazali, Setiausaha KOSMA. Dicky Harrys bin Jamin, Pengurus Ladang. Mohamad Firdaus bin Md. Khalid dari Jabatan Tenaga Asing, serta kakitangan KOSMA yang terlibat.
Sempena lawatan tersebut, delegasi turut mengunjungi Madrasah Al-Haz Ali Akbar, sebuah institusi tahfiz yang ditaja sepenuhnya oleh Amin Travel & Tours. Ketibaan rombongan telah disambut mesra oleh Mudir madrasah, Ustaz Munir, bersama para guru dan pelajar.
Majlis dimulakan dengan alunan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh para pelajar tahfiz, diikuti dengan bacaan doa sebagai tanda kesyukuran dan memohon keberkatan buat semua yang hadir.
Kemuncak program menyaksikan penyampaian sumbangan peribadi daripada Pengerusi KOSMA kepada 91 orang pelajar tahfiz dan 18 orang guru sebagai tanda keprihatinan serta sokongan terhadap usaha memperkasa pendidikan Islam dan kebajikan masyarakat setempat.
Program turut mendapat liputan daripada Channel S dan Global Televisa yang hadir membuat liputan khas serta mengadakan temu bual ringkas bersama Pengerusi KOSMA mengenai tujuan lawatan dan komitmen KOSMA dalam menyantuni pekerja serta menyumbang kepada pembangunan komuniti.
Program Ziarah Kasih ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim antara KOSMA dengan pekerja serta masyarakat setempat, malah menjadi lambang penghargaan terhadap jasa pekerja yang telah lama berkhidmat bersama organisasi. Diharapkan inisiatif seperti ini akan terus memperkukuh hubungan persaudaraan dan menyemai nilai kemanusiaan merentasi sempadan negara.










