09-517 7977 / 517 7289

admin@kosma.com.my

Isnin - Jumaat, 8 pagi - 7 petang

Keputusan 100 Koperasi Terbaik Malaysia Tahun 2026

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Keputusan 100 Koperasi Terbaik Malaysia Tahun 2026

Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) telah berjaya mencatat satu lagi pencapaian membanggakan apabila diiktiraf sebagai Koperasi Ke-6 Terbaik Malaysia bagi Tahun 2026 dalam senarai Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2026 yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Pengumuman pencapaian tersebut telah dibuat sempena Sambutan Hari Koperasi Negara 2026 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di PICCA Convention Centre @ Butterworth Arena, Pulau Pinang pada 4 Julai 2026. Majlis Perasmian Penutupan sambutan tersebut telah disempurnakan oleh YB Encik Steven Sim Chee Keong, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

KOSMA telah diwakili oleh YH. Dato’ Haji Zamri bin Mohamed, Pengerusi KOSMA bersama YH. Dato’ Haji Mohd Sabri Bin Haji Abdullah, Timbalan Pengerusi KOSMA, Cr Abdul Hamid Bin Ghazali, Setiausaha KOSMA serta Puan Hajah Zuraida Binti Aw. Said, Bendahari bagi menyaksikan serta meraikan pencapaian bersejarah ini.

Kedudukan sebagai Koperasi Ke-6 Terbaik Malaysia merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna dan membuktikan keupayaan KOSMA untuk terus berkembang sebagai sebuah koperasi yang kukuh, berdaya saing dan berprestasi tinggi di peringkat nasional. Pencapaian ini sekali gus meletakkan KOSMA dalam kelompok 10 koperasi terbaik di Malaysia, suatu kejayaan yang membanggakan seluruh warga KOSMA.

Kejayaan ini adalah hasil daripada komitmen berterusan Anggota Lembaga, Pengurusan, Kakitangan serta sokongan padu seluruh Anggota KOSMA dalam memastikan koperasi terus mencapai kecemerlangan dalam setiap bidang yang diceburi. Berdasarkan profil rasmi yang diterbitkan oleh SKM, KOSMA merekodkan aset kumpulan berjumlah RM908.133 juta serta pendapatan kumpulan sebanyak RM290.790 juta, sekali gus mencerminkan prestasi kewangan yang mantap dan mampan.

Pencapaian ini juga menjadi bukti bahawa strategi perniagaan, tadbir urus yang baik serta kepercayaan yang diberikan oleh anggota telah berjaya mengangkat KOSMA sebagai antara koperasi yang paling berjaya di negara ini. Ia turut menjadi pemangkin kepada KOSMA untuk terus memperkukuh kedudukannya serta meneroka peluang-peluang baharu demi memberikan manfaat yang lebih besar kepada seluruh anggota pada masa hadapan.

Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada seluruh anggota, pelanggan, rakan strategik, warga kerja serta semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan ini. Pencapaian yang diraih adalah kejayaan bersama dan menjadi pemangkin untuk KOSMA terus melakar kecemerlangan pada masa hadapan dengan pencapaian kedudukan Koperasi Terbaik yang lebih bagus.

Sekian, terima kasih.

Cr. ABDUL HAMID BIN GHAZALI
Setiausaha

KOPERASI SERBAUSAHA MAKMUR BERHAD (KOSMA)

Kongsikan