BERA, 28 Mac 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Bera dan Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) Tahun 2026 yang berlangsung meriah di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda berdua pada jam 12.00 tengah hari itu diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, dan disambut oleh Ahli Parlimen Bera, Dato Sri’ Dr Ismail Sabri bin Yaakob serta Pengerusi KOSMA, Dato’ Haji Zamri bin Haji Mohamed.
Majlis yang dianjurkan dengan penuh adat istiadat ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan rakyat, di samping menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam suasana harmoni dan penuh muhibah. Para tetamu hadir mengenakan pakaian Baju Kebangsaan, sekali gus menyerlahkan keindahan warisan budaya tempatan.
Dalam majlis tersebut, Paduka Baginda turut berkenan menyempurnakan pelancaran serta menandatangani buku terbitan KOSMA bertajuk “Cerita Dari Sebuah Belantara”. Selain itu, Baginda juga berkenan menyempurnakan majlis penyerahan replika kunci van serbaguna KOSMA kepada Maahad Darul Tahfiz Al-Quran Kampung Sungai Badak, Jerantut sebagai simbol sokongan terhadap pembangunan pendidikan agama.
Tidak ketinggalan, acara simbolik memotong dan menjamah pulut kuning turut diadakan sebagai tanda kesyukuran dan keberkatan majlis.
Majlis jamuan Hari Raya ini turut menyediakan pelbagai juadah tradisional seperti lemang, ketupat, rendang, laksa serta cendol untuk dinikmati ribuan pengunjung yang mula membanjiri perkarangan dewan seawal jam 9 pagi.
Kehadiran rakyat berbilang kaum ke majlis ini jelas mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat, selari dengan nilai-nilai yang diterapkan dalam sambutan Aidilfitri di negeri ini.
Penganjuran majlis ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara institusi diraja, pemimpin dan rakyat, malah turut menjadi platform mempereratkan ukhuwah serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Majlis berakhir dengan sesi ramah mesra dan bergambar, meninggalkan kenangan manis kepada semua yang hadir.




















