09-517 7977 / 517 7289

admin@kosma.com.my

Isnin - Jumaat, 8 pagi - 7 petang

LAWATAN KERJA KE MEDAN, INDONESIA BAGI PENGESAHAN EJEN DAN PENGAMBILAN TENAGA KERJA INDONESIA (TKI)

Pada 22–25 Disember 2025, Koperasi Serbaguna KOSMA Berhad (KOSMA) telah mengadakan satu lawatan kerja ke Medan, Indonesia bertujuan untuk mengenal pasti serta mengesahkan ejen pengambilan tenaga kerja yang diiktiraf, di samping memastikan proses pengambilan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) dilaksanakan melalui saluran yang sah, teratur dan mematuhi perundangan yang ditetapkan.

Rombongan lawatan ini telah diketuai oleh Dato’ Haji Mohd Sabri bin Haji Abdullah, Timbalan Pengerusi KOSMA, bersama Cr Abdul Hamid bin Ghazali, Setiausaha KOSMA, serta kakitangan KOSMA yang terlibat. Lawatan ini adalah susulan kepada kelulusan kuota baharu seramai 300 orang TKI yang diperoleh oleh KOSMA.

Kuota baharu ini bertujuan bagi menggantikan pekerja yang telah menamatkan kontrak perkhidmatan, gagal dalam pemeriksaan kesihatan, serta pekerja yang melarikan diri. Seiring dengan dasar Kerajaan Indonesia, KOSMA mengamalkan polisi ‘zero-cost’ dalam pengambilan tenaga kerja Indonesia, di mana pihak majikan bertanggungjawab sepenuhnya menanggung semua kos berkaitan proses pengambilan pekerja.

KOSMA turut berhasrat untuk meluaskan skop sumber pengambilan Tenaga Kerja Indonesia (TKI). Sehubungan itu, KOSMA telah melantik ejen di Medan bagi menguruskan kemasukan TKI dari wilayah tersebut, yang difahamkan mempunyai ramai calon pekerja berminat serta berkemahiran, khususnya dalam sektor perladangan.

Bagi memastikan keseluruhan proses pengambilan berjalan dengan lebih sistematik dan berintegriti, KOSMA telah mencadangkan lawatan kerja ini sebagai pendedahan menyeluruh kepada kakitangan berkaitan berhubung proses pengambilan tenaga kerja, prosedur yang terlibat serta pematuhan undang-undang tempatan. Lawatan ini juga bertujuan memberi kefahaman mendalam mengenai penilaian kemahiran calon pekerja dan seterusnya mewujudkan hubungan strategik bersama agensi serta pihak berkuasa tempatan.

Delegasi seramai empat (4) orang telah berada di Medan selama empat (4) hari tiga (3) malam, bermula 22 hingga 25 Disember 2025, bagi melaksanakan lawatan lapangan, sesi temuduga calon pekerja serta perbincangan rasmi dengan pihak berkaitan. Medan dikenal pasti sebagai antara sumber utama tenaga kerja berkualiti dalam sektor perladangan, didorong oleh faktor kemahiran kerja yang relevan, kos pengambilan yang kompetitif serta pengalaman luas tenaga kerja dari wilayah ini di Malaysia. Justeru, Medan dilihat sebagai lokasi strategik bagi memenuhi keperluan tenaga kerja ladang-ladang di bawah KOSMA.

Melalui lawatan kerja ini, KOSMA dapat memperkukuh hubungan dua hala, meningkatkan keupayaan pengurusan sumber manusia, serta memahami dengan lebih mendalam keseluruhan proses pengambilan pekerja asing dari sumber utama. Lawatan ini selaras dengan matlamat KOSMA untuk mengurus tenaga kerja secara lebih efisien, beretika dan patuh undang-undang di bawah pelaksanaan polisi ‘zero-cost’.

Kongsikan