09-517 7977 / 517 7289

admin@kosma.com.my

Isnin - Jumaat, 8 pagi - 7 petang

KUNJUNG HORMAT SURUHANJAYA KOPERASI MALAYSIA CAWANGAN NEGERI PAHANG KE KOSMA

Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) hari ini menerima kunjungan hormat daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Negeri Pahang dalam satu majlis yang berlangsung di Kompleks Perladangan KOSMA, Bandar Tun Razak.

Rombongan SKM Pahang telah diketuai oleh Encik Mohd Firdaus bin Shaari, Pengarah SKM Pahang, bersama pegawai-pegawai SKM. Kunjungan ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan serta meninjau perkembangan operasi dan hala tuju perniagaan KOSMA.

Pihak KOSMA diwakili oleh Dato’ Haji Zamri bin Mohamed, Pengerusi KOSMA, Dato’ Haji Mohd Sabri bin Haji Abdullah, Timbalan Pengerusi KOSMA, Cr Abdul Hamid bin Ghazali, Setiausaha KOSMA serta Puan Hajah Zuraida Binti Aw. Said, Bendahari KOSMA. Turut hadir memeriahkan majlis ialah barisan Anggota Lembaga KOSMA (ALK), JKAD serta kakitangan KOSMA yang terlibat.

Majlis dimulakan dengan sesi kunjung hormat di auditorium kompleks yang disusuli dengan ucapan alu-aluan oleh Dato’ Haji Zamri bin Mohamed, Pengerusi KOSMA. Seterusnya, Encik Mohd Firdaus bin Shaari, Pengarah SKM Pahang menyampaikan ucapan serta pandangan berkaitan peranan dan hala tuju pembangunan koperasi.

Majlis turut diserikan dengan tayangan video korporat KOSMA dan penyampaian cenderamata sebagai tanda penghargaan kepada pihak SKM Pahang.

Selesai sesi rasmi, rombongan SKM Pahang dibawa melawat beberapa projek utama KOSMA. Lawatan ke Tapak Projek Perumahan Pekerja bertujuan menzahirkan keperihatinan KOSMA terhadap kebajikan pekerja dengan menyediakan kemudahan perumahan yang selesa dan terancang.

Rombongan turut dibawa ke Tapak Projek Solar KOSMA yang berfungsi sebagai sumber bekalan elektrik bagi menyokong operasi koperasi secara lebih mampan dan menjimatkan kos. Selain itu, lawatan ke Kilang KOSMA memberi pendedahan berkaitan proses pemprosesan minyak yang merupakan antara sumber utama keuntungan KOSMA.

Kunjung hormat ini mencerminkan komitmen berterusan KOSMA dalam memperkukuh tadbir urus, menjaga kebajikan pekerja serta memperluaskan sumber pendapatan koperasi, sejajar dengan aspirasi pembangunan koperasi yang mampan di bawah seliaan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Kongsikan