31 Disember 2025 – Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) telah menganjurkan Majlis Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 yang berlangsung meriah di Pentas Astaka, Perladangan KOSMA, bermula jam 8.00 malam dengan penyertaan warga kerja dari pelbagai ladang di bawah KOSMA.
Majlis tersebut telah diserikan dengan kehadiran Dato’ Haji Zamri bin Mohamed, Pengerusi KOSMA, selaku tetamu kehormat. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Dato’ Haji Mohd Sabri bin Haji Abdullah, Timbalan Pengerusi KOSMA, Cr Abdul Hamid bin Ghazali, Setiausaha KOSMA, Puan Hajah Zuraida Binti Aw. Said, Bendahari KOSMA, barisan Anggota Lembaga KOSMA, JKAD, barisan kakitangan serta pekerja ladang KOSMA.
Majlis dimulakan dengan agihan kupon kepada pekerja mengikut ladang sebelum acara pentas bermula dengan pelbagai pengisian hiburan dan persembahan. Ketibaan Pengerusi KOSMA dan dif-dif kehormat pada jam 9.30 malam telah disambut meriah oleh para hadirin.
Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan oleh Dato’ Haji Zamri bin Mohamed, yang menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga kerja KOSMA atas komitmen dan kerjasama yang diberikan sepanjang tahun 2025. Beliau turut menyeru agar tahun baharu 2026 dimulakan dengan azam dan semangat baharu demi memperkukuh perpaduan, disiplin serta kecemerlangan organisasi.
Acara pentas diteruskan dengan pelbagai persembahan sehingga menjelang detik ambang Tahun Baharu 2026. Tepat jam 11.45 malam, para hadirin bersama-sama menyambut detik ambang tahun baharu dalam suasana penuh muhibah dan kesyukuran.
Kemuncak sambutan diserikan dengan persembahan bunga api tepat jam 12.00 tengah malam, menandakan bermulanya Tahun Baharu 2026, sekali gus menceriakan suasana dan meninggalkan kenangan manis kepada semua yang hadir.
Majlis sambutan ini bukan sahaja menjadi platform hiburan dan rekreasi, malah berperanan mengeratkan hubungan silaturahim antara pengurusan, kakitangan dan pekerja ladang KOSMA, selaras dengan aspirasi koperasi ke arah kecemerlangan berterusan.









