09-517 7977 / 517 7289

admin@kosma.com.my

Isnin - Jumaat, 8 pagi - 7 petang

KOSMA mendapat watikah Sijil kuasa Polis Bantuan daripada Ketua Polis Negara

Pada 11 November 2025, Koperasi Serbausaha Makmur (KOSMA) mencipta sejarah tersendiri apabila akhirnya menerima sijil penubuhan Polis Bantuannya KOSMA, sekali gus menamatkan penantian panjang untuk mengaktifkan semula pasukan keselamatan tersebut.

Polis Bantuan telah beroperasi di KOSMA sejak awal penubuhan koperasi ini, pada asalnya di bawah pendaftaran RGASAS (Rubber Growers Association Security Advisory Services) sebelum beralih naungan kepada MPOA (Malaysian Palm Oil Association). Walau bagaimanapun, pada tahun 2023, pasukan ini digantung berikutan ketiadaan pendaftaran sah di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selepas peralihan RGASAS kepada MPOA dan ketiadaan sijil penubuhan khusus atas nama KOSMA.

Sejak itu, pihak KOSMA mengambil langkah proaktif dengan menjalinkan kerjasama rapat bersama PDRM, khususnya Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Pahang serta Bukit Aman. Perbincangan, semakan rekod serta penyediaan dokumen dijalankan dengan teliti bagi memastikan setiap keperluan mematuhi prosedur penubuhan Polis Bantuan yang ditetapkan.

Hasil usaha berterusan itu, KOSMA akhirnya dianugerahkan kelulusan penubuhan Polis Bantuan KOSMA sebagai sebuah pasukan yang berdiri sendiri, tidak lagi tertakluk di bawah mana-mana persatuan. Pada 25 Julai 2025, Polis Bantuan KOSMA secara rasminya ditubuhkan dan menerima pengiktirafan penuh daripada PDRM.

Majlis penyampaian sijil penubuhan berlangsung pada 11 November 2025 dan disempurnakan oleh Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Seri Yahaya bin Othman, dalam satu majlis ringkas di Pejabat Ketua Polis, Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Pahang.

Penubuhan rasmi ini membuka lembaran baharu kepada KOSMA dalam memperkasa keselamatan aset, kawasan operasi serta warga kerjanya, sekali gus mengukuhkan komitmen koperasi terhadap aspek keselamatan dan kepatuhan undang-undang.

Kongsikan