Pada 2 Disember 2025 – Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Badan Korporat berlangsung dengan penuh istiadat di Istana Abdulaziz, Bukit Istana, Kuantan. Majlis tersebut disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Pada tahun ini, Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) melakar sejarah apabila mencatatkan pembayaran zakat perniagaan tertinggi sejak penubuhannya, iaitu sebanyak RM 4,000,000.00. Jumlah ini mencerminkan prestasi kukuh serta komitmen KOSMA dalam menunaikan tanggungjawab sosial dan keagamaan terhadap pembangunan ummah di negeri Pahang.
KOSMA diwakili oleh Dato’ Haji Zamri bin Haji Mohamed (Pengerusi KOSMA). Turut hadir mengiringi beliau ialah Dato’ Haji Mohd Sabri bin Abdullah (Timbalan Pengerusi KOSMA) serta Cr Abdul Hamid bin Ghazali (Setiausaha KOSMA).
Majlis dimulakan dengan ketibaan para jemputan pada jam 10.00 pagi, diikuti raptai ringkas sebelum keberangkatan tiba baginda Sultan Pahang pada jam 11.00 pagi. Seterusnya, acara penyerahan zakat oleh badan-badan korporat berlangsung dengan penuh tertib dan hormat.
Majlis diteruskan dengan bacaan doa sebelum para tetamu dijamu dengan santapan tengah hari. Acara berakhir dengan suasana penuh penghargaan atas komitmen tinggi syarikat dan koperasi dalam menunaikan kewajipan zakat sebagai tanggungjawab sosial dan keagamaan.












