09-517 7977 / 517 7289

admin@kosma.com.my

Isnin - Jumaat, 8 pagi - 7 petang

Sambutan Hari Sukan Muhibbah Peringkat KOSMA 2025

Pada 1 November 2025 – Sambutan Hari Sukan Muhibbah Peringkat Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) 2025 yang berlangsung di Padang Kompleks Perladangan KOSMA disambut meriah dengan pelbagai acara sukan dan aktiviti melibatkan semua warga kerja serta pekerja ladang di bawah KOSMA.

Majlis telah disempurnakan oleh YH Dato’ Haji Zamri bin Haji Mohamed, Pengerusi KOSMA, yang turut menyampaikan ucapan perasmian. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan semangat kesukanan dan perpaduan antara kakitangan serta pekerja KOSMA bagi memperkukuh kerjasama dan keharmonian dalam organisasi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini dan berharap agar aktiviti sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform mempererat silaturahim antara warga kerja pelbagai latar belakang.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Dato’ Haji Mohd Sabri bin Haji Abdullah (Timbalan Pengerusi), Cr Abdul Hamid bin Ghazali (Setiausaha), Puan Hajah Zuraida binti Awang Said (Bendahari), serta Anggota Lembaga dan Jawatankuasa Audit Dalam (JKAD).

Pelbagai acara sukan seperti tarik tali, rakit darat, terompah gergasi, lari ikat kaki, dan rebut ayam kampung diadakan bagi menguji kekuatan, semangat berpasukan dan ketangkasan para peserta. Program turut diserikan dengan kehadiran kontinjen pelbagai rumah sukan yang bersemangat dalam perbarisan lintas hormat.

Sambutan kali ini turut diwarnai dengan nyanyian lagu Negaraku, Negeri Pahang, Indonesia Raya dan Bangladesh, mencerminkan semangat muhibbah serta perpaduan antara semua warga kerja tempatan dan antarabangsa di bawah keluarga besar KOSMA.

Majlis berakhir dengan penyampaian hadiah kepada pemenang acara sukan serta penyampaian cenderahati kepada wakil jemputan dari Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) dan komuniti pekerja Bangladesh sebagai tanda penghargaan atas sokongan dan penyertaan mereka.

Kongsikan