09-517 7977 / 517 7289

admin@kosma.com.my

Isnin - Jumaat, 8 pagi - 7 petang

LAWATAN KERJA KOSMA KE MYLAB MEDICAL AND DIAGNOSTIC CENTRE

29 Julai 2026 – Delegasi Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) telah mengadakan lawatan kerja ke MyLab Medical and Diagnostic Centre sebagai sebahagian daripada siri lawatan rasmi ke Bangladesh bagi meninjau proses persediaan kemasukan tenaga kerja ke Malaysia.

Delegasi KOSMA diketuai oleh Dato’ Haji Zamri bin Mohamed, Pengerusi KOSMA. Turut mengiringi beliau ialah Dato’ Haji Mohd Sabri bin Haji Abdullah, Timbalan Pengerusi KOSMA. Cr. Abdul Hamid bin Ghazali, Setiausaha KOSMA. Dicky Harrys bin Jamin, Pengurus Ladang. Mohamad Firdaus bin Md. Khalid dari Jabatan Tenaga Asing, serta kakitangan KOSMA yang terlibat.

Ketibaan delegasi telah disambut mesra oleh Mr. Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Amin Tours & Travel, sebelum dibawa melawat ibu pejabat Amin Tours dan MyLab Medical and Diagnostic Centre bagi melihat sendiri kemudahan serta prosedur yang dilaksanakan dalam proses pemeriksaan kesihatan bakal pekerja.

Sepanjang lawatan, delegasi KOSMA telah dibawa meninjau bangunan tiga tingkat yang menempatkan pelbagai kemudahan pemeriksaan kesihatan. Tingkat satu dan tingkat dua bangunan tersebut menempatkan pusat pemeriksaan lengkap yang merangkumi makmal patologi (Pathology Laboratory), makmal X-Ray, ujian darah serta pelbagai kemudahan diagnostik lain yang digunakan untuk menjalankan saringan kesihatan secara menyeluruh.

MyLab Medical and Diagnostic Centre memainkan peranan penting dalam memastikan setiap bakal pekerja yang akan memasuki Malaysia menjalani pemeriksaan kesihatan yang komprehensif sebelum berlepas. Proses saringan ini bertujuan memastikan hanya pekerja yang benar-benar berada dalam keadaan sihat dibenarkan memasuki negara bagi memulakan pekerjaan, sekali gus membantu majikan memperoleh tenaga kerja yang berkualiti serta mengurangkan risiko berkaitan kesihatan.

Lawatan ini turut memberi peluang kepada delegasi KOSMA untuk memahami secara lebih mendalam prosedur pemeriksaan yang dilaksanakan mengikut piawaian yang ditetapkan serta langkah-langkah kawalan kualiti yang diamalkan oleh pihak MyLab dalam memastikan keputusan pemeriksaan adalah tepat dan boleh dipercayai.

Sebelum mengakhiri lawatan, satu sesi perbincangan telah diadakan bersama CEO Amin Tours & Travel bagi membincangkan hala tuju kerjasama antara kedua-dua organisasi. Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan pengurusan kemasukan tenaga kerja dari Bangladesh ke Malaysia, termasuk aspek penyelarasan pemeriksaan kesihatan, dokumentasi, pematuhan prosedur serta penambahbaikan proses bagi memastikan kemasukan pekerja berjalan dengan lebih cekap, sistematik dan memenuhi keperluan industri.

Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan KOSMA dalam memastikan setiap proses pengambilan tenaga kerja asing dilaksanakan secara profesional, telus dan mengutamakan aspek keselamatan serta kesejahteraan pekerja sebelum mereka memulakan perkhidmatan di Malaysia.

Kongsikan