09-517 7977 / 517 7289

admin@kosma.com.my

Isnin - Jumaat, 8 pagi - 7 petang

Hari Koperasi Negara 2022 Peringkat Negeri Pahang

Pada 25 Jun 2022 Telah berlangsungnya Hari Koperasi Negara 2022 peringkat Negeri Pahang bertempat di Dewan Majlis Daerah Jerantut. KOSMA telah dijemput menyertai pameran yang diadakan pada 25 – 26 Jun 2022. Pelbagai aktiviti-aktiviti telah dianjurkan bagi memeriahkan Hari Koperasi Negara ini yang telah dirasmikan oleh, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy bin Wan Ismail.

Kutipan hasil negeri Pahang mencecah RM750 juta setakat 22 Jun lepas, menghampiri sasaran kutipan RM1 billion pada tahun ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, ia dapat dicapai apabila kerajaan negeri berjaya menguruskan ketirisan dan kebocoran, selain mencari peluang yang ada tanpa membebankan rakyat, antaranya menerusi kutipan cukai daripada agensi yang menggunakan tanah milik kerajaan negeri.

“Hasil berkenaan kelak akan dikembalikan semula kepada rakyat dalam pelbagai bentuk sumbangan dan bantuan, selain melaksanakan projek pembangunan negeri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Pahang Tahun 2022 Sempena Sambutan 100 Tahun Gerakan Koperasi di Malaysia di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Nazri Ngah dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Pahang, Radiatul Fitri Dollah.

Pada tahun 2019, Pahang memperoleh hasil sebanyak RM847 juta, meningkat kepada RM850 juta pada 2020 dan RM866 juta tahun lepas.

Terdahulu dalam ucapannya Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan berjumlah RM1 juta tahun ini untuk disalurkan kepada Gerakan Koperasi Pahang.

Sementara itu, Radiatul Fitri berkata, pihaknya bercadang untuk menubuhkan gabungan koperasi peringkat daerah bagi membantu kerajaan meningkatkan pengeluaran makanan negara untuk mengelakkan krisis makanan.

“Kami telah berbincang dengan koperasi di daerah-daerah dan salah satu daripada perancangannya ialah menggabungkan penternak ayam sedia ada di Pahang untuk membentuk koperasi,” katanya.

Kongsikan