Sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-68, Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) telah menganjurkan program istimewa selama tiga hari bermula 29 Ogos hingga 31 Ogos 2025 bertempat di Ladang KOSMA, Melati, Muadzam Shah, Pahang Darul Makmur.
Pelbagai acara menarik dan pertandingan dianjurkan sepanjang program berlangsung, termasuk Maraton 6km, pertandingan perbarisan terbaik, karaoke, kuiz ilmu pengetahuan serta beberapa aktiviti lain yang menceriakan suasana. Sambutan tersebut turut melibatkan penyertaan hampir kesemua Kakitangan KOSMA yang bukan sahaja menjadi peserta tetapi juga menjayakan penganjuran program dari awal hingga akhir.
Dalam ucapan penutupnya, Dato’ Haji Zamri menyatakan rasa bangga dan terima kasih atas penglibatan serta komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh semua kakitangan KOSMA. Turut hadir Dato’ Haji Mohd Sabri bin Haji Abdullah (Timbalan Pengerusi), Cr Abdul Hamid bin Ghazali (Setiausaha), Puan Hajah Zuraida binti Awang Said (Bendahari), serta Anggota Lembaga, JKAD, Jawatankuasa Keanggotaan KOSMA, dan seluruh kakitangan yang terlibat dalam menjayakan program ini.
“Program seperti ini bukan sahaja mengukuhkan semangat cintakan negara, tetapi juga merapatkan hubungan antara seluruh warga KOSMA. Ini adalah contoh terbaik bagaimana semangat kekeluargaan dan perpaduan dapat dipupuk dalam sesebuah organisasi,” katanya lagi.
Sambutan Merdeka kali ini bukan sahaja mencerminkan komitmen KOSMA terhadap nilai patriotisme, tetapi juga memperlihatkan betapa pentingnya jalinan hubungan baik dalam sesebuah organisasi demi kecemerlangan bersama.









