Keratong, 1 Mei 2025 – Suasana meriah dan penuh rasa syukur mewarnai Majlis Sambutan Hari Pekerja dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di Astaka Kompleks Perladangan KOSMA. Majlis ini bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan hampir 1,100 pekerja ladang serta 155 kakitangan KOSMA yang telah menyumbang kepada kejayaan KOSMA.
Majlis ini diketuai oleh barisan kepimpinan KOSMA yang terdiri daripada Dato’ Haji Zamri bin Haji Mohamed (Pengerusi), Dato’ Haji Mohd Sabri bin Haji Abdullah (Timbalan Pengerusi), Tuan Haji Ismail bin Abd Rahman (Setiausaha), Puan Hajah Zuraida binti Awang Said (Bendahari), serta Anggota Lembaga, JKAD, Jawatankuasa KOSMA, Pengurus Besar, dan seluruh kakitangan yang terlibat dalam menjayakan program ini.
Acara bermula seawal jam 10.30 pagi dan berlangsung sehingga 2.00 petang dengan kehadiran lebih 2,500 tetamu dari dalam dan luar kawasan. Majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran wakil rasmi dari Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Johor Bahru, Yang Terhormat Bapak Jati, sebagai tanda sokongan kepada hampir 550 pekerja warga Indonesia yang bekerja di ladang tersebut, di samping 450 pekerja dari Bangladesh.
Pelbagai juadah tradisional disediakan seperti rendang, lemang, ketupat, kari ayam, nasi minyak, serta aneka kuih-muih sebagai simbol penghargaan kepada para pekerja yang telah mencurahkan tenaga sepanjang tahun. Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang disambut sedikit lewat turut diselaraskan dengan Hari Buruh Sedunia bagi memberi peluang kepada semua warga kerja bersama-sama meraikannya dalam satu suasana harmoni dan penuh kemeriahan.
Pihak pengurusan KOSMA mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang hadir, khususnya barisan yang telah bertungkus-lumus memastikan kelancaran program ini. Sambutan tahun ini dilihat bukan sahaja sebagai tanda penghargaan kepada para pekerja, tetapi juga sebagai wadah memperkukuhkan semangat kekeluargaan dan perpaduan dalam komuniti perladangan KOSMA.










