09-517 7977 / 517 7289

admin@kosma.com.my

Isnin - Jumaat, 8 pagi - 7 petang

Majlis Apresiasi Pekerja Ladang KOSMA

Pada 31 Disember 2025 – Koperasi Serbausaha Makmur Berhad(KOSMA) telah menganjurkan Majlis Apresiasi Pekerja Ladang KOSMA yang berlangsung dengan penuh meriah di Dewan Serbaguna, Perladangan KOSMA, sebagai tanda penghargaan atas dedikasi dan komitmen para pekerja ladang sepanjang tahun.

Majlis ini telah dirasmikan oleh YH Dato’ Haji Zamri bin Mohamed, Pengerusi KOSMA. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Dato’ Haji Mohd Sabri bin Haji Abdullah, Timbalan Pengerusi KOSMA, Cr Abdul Hamid bin Ghazali, Setiausaha KOSMA, Ahli Lembaga Koperasi (ALK), wakil Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru iaitu Wahyu Kusumanegara, Konsul Imigrasi dan Ibu Riza Sativa, Konsul Polis, JKAD, serta barisan kakitangan dan pekerja Ladang KOSMA.

Majlis dimulakan dengan pendaftaran pekerja dan cabutan bertuah, diikuti ketibaan pengerusi serta nyanyian lagu kebangsaan dan lagu rasmi negeri. Bacaan doa telah disempurnakan oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Saidin Hadri bin Osman bagi memberkati perjalanan majlis.

Ucapan turut disampaikan oleh wakil pekerja Indonesia dan Bangladesh, diikuti ucapan daripada wakil KJRI Johor Bahru, yang menzahirkan penghargaan terhadap pihak KOSMA atas komitmen tinggi dalam menjaga kebajikan serta kesejahteraan pekerja warga Indonesia di perladangan ini.

Dalam ucapannya, Dato’ Haji Zamri bin Mohamed menegaskan bahawa kejayaan KOSMA tidak akan tercapai tanpa sumbangan besar para pekerja ladang yang menjadi tunjang kepada operasi perladangan. Beliau turut menyeru agar semangat perpaduan, disiplin dan kerjasama antara pekerja pelbagai bangsa terus diperkukuhkan.

Majlis diteruskan dengan penyampaian Anugerah Pekerja kepada wakil ladang-ladang di bawah KOSMA termasuk Ladang Gajah Jinak, Ladang Sungai Kepasing, Ladang Bukit Serlai, Ladang KOSMA 6, 7, 8 dan 9 serta Jabatan Hal Ehwal Kompleks. Turut disampaikan ialah Anugerah Pekerja Cemerlang Keseluruhan bagi kategori pekerja Indonesia dan Bangladesh.

Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan daripada kakitangan Ladang KOSMA, pekerja Indonesia, kakitangan Ibu Pejabat serta pekerja Bangladesh yang mencerminkan keharmonian dan kepelbagaian budaya dalam warga kerja KOSMA.

Majlis berakhir dengan cabutan bertuah serta jamuan makan tengah hari sebelum para tetamu bersurai. Penganjuran majlis ini jelas membuktikan komitmen KOSMA dalam menghargai sumbangan pekerja serta memperkukuh hubungan majikan dan pekerja ke arah kecemerlangan berterusan.

Kongsikan