31 Disember 2024, Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) telah mengadakan Majlis Apresiasi Pekerja Ladang KOSMA 2024 yang bertempat di Dewan Kompleks Perladangan KOSMA. Majlis ini diadakan bagi memberi penghargaan kepada pekerja-pekerja KOSMA yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun 2024. Pekerja yang diraikan terdiri daripada warga Indonesia dan Bangladesh yang telah memberi sumbangan besar kepada kejayaan KOSMA.
Majlis perasmian telah dirasmikan oleh Dato’ Haji Zamri bin Haji Mohamed, Pengerusi KOSMA, yang dalam ucapan perasmiannya menyampaikan rasa terima kasih yang mendalam kepada semua pekerja yang telah memberikan usaha yang luar biasa. Beliau turut menggariskan perkembangan positif yang dicapai oleh KOSMA pada tahun ini, menyifatkan 2024 sebagai tahun yang penuh dengan kejayaan dan pencapaian cemerlang dalam pengurusan ladang dan operasi koperasi.
“Majlis ini merupakan tanda penghargaan KOSMA kepada semua pekerja yang telah bekerja keras dan berdedikasi dalam memastikan kejayaan bersama. Kejayaan KOSMA pada tahun ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan dan usaha gigih anda semua,” kata Dato’ Haji Zamri dalam ucapannya.
Turut hadir memeriahkan majlis ini ialah Dato’ Haji Mohd Sabri bin Haji Abdullah, Timbalan Pengerusi KOSMA; Tuan Haji Ismail bin Abd Rahman, Setiausaha KOSMA; Puan Hajah Zuraida binti Awang Said, Bendahari KOSMA; Anggota Lembaga KOSMA, Ahli Jawatankuasa Audit Dalaman KOSMA, Pengurus Besar, serta seluruh kakitangan KOSMA.
Sebagai simbol penghargaan, anugerah dan sijil penghargaan telah disampaikan kepada pekerja-pekerja yang menunjukkan komitmen tinggi dan pencapaian luar biasa sepanjang tahun ini. Majlis ini juga menjadi platform untuk mempereratkan hubungan antara pihak pengurusan dan pekerja serta mengukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan seluruh warga KOSMA.
Pada sebelah malam, acara diteruskan dengan Majlis Doa Selamat dan sambutan ambang tahun baru yang diadakan di Astaka Kompleks Perladangan KOSMA. Majlis doa selamat diadakan untuk memohon keberkatan dan kejayaan yang berterusan, sementara sambutan ambang tahun baru menjadi peluang untuk semua hadir bersama-sama meraikan pencapaian tahun 2024 dan menyambut tahun 2025 dengan penuh harapan dan azam baru.
KOSMA berharap dengan penganugerahan ini, semangat kecemerlangan, kerjasama, dan dedikasi akan terus kekal di kalangan semua pekerja dan dapat diteruskan untuk kejayaan bersama pada tahun 2025 dan seterusnya.











