Pada 21–22 Julai 2025 – Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) telah menganjurkan Kursus Keterampilan Diri dan Imej Profesional selama dua hari bertempat di Auditorium Kompleks Perladangan KOSMA, Mukim Keratong.
Program yang berlangsung pada 2 hari telah melibatkan penyertaan kakitangan dari pelbagai bahagian dan unit. Kursus ini bertujuan memberi pendedahan kepada aspek penampilan profesional, komunikasi bukan lisan, penjagaan diri, etika berpakaian serta tatacara berinteraksi yang berkesan dalam persekitaran kerja korporat.
Penceramah berpengalaman dari Pahang Skill Development Centre telah dijemput bagi menyampaikan modul yang menyeluruh dan interaktif. Peserta turut terlibat secara aktif dalam sesi latihan amali serta demonstrasi pemakaian dan solekan yang sesuai untuk wanita dan lelaki.
Dalam ucapan perasmian penutup, Dato’ Haji Zamri bin Haji Mohamed (Pengerusi) menekankan bahawa keterampilan diri bukan sahaja mencerminkan budaya kerja yang positif, malah menyumbang kepada keberkesanan komunikasi serta meningkatkan reputasi organisasi. Turut hadir, Cr Abdul Hamid bin Ghazali (Setiausaha), Puan Hajah Zuraida binti Awang Said (Bendahari) dan Tuan Haji Jamil bin Ninggal.
Majlis penutup kursus telah disempurnakan dengan penyampaian sijil penyertaan kepada semua peserta.










