09-517 7977 / 517 7289

admin@kosma.com.my

Isnin - Jumaat, 8 pagi - 7 petang

KUNJUNGAN WAKIL KERAJAAN XINXIANG DAN PEMBENTANGAN PELUANG EKSPORT MINYAK SAWIT KE CHINA

Pada 6 Mei 2025 – KOSMA telah menerima kunjungan hormat daripada wakil Kerajaan XinXiang, Encik Zhu Jing bersama-sama dengan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia di China (Maycham) – Pejabat Xian, Encik Raymond Raman dan beberapa wakil Maycham yang lain. Kunjungan ini telah diadakan di Bilik Mesyuarat Tingkat 3, Ibu Pejabat KOSMA bermula pada pukul 2.30 petang.
Sempena dengan kunjungan tersebut, satu sesi pembentangan Pelan Perniagaan Import Eksport minyak sawit ke negara China turut diadakan. Objektif utama pembentangan ini adalah untuk meneroka dan membincangkan peluang perniagaan eksport minyak sawit ke China yang semakin berkembang.
Menurut pembentangan tersebut, pada tahun 2024, import minyak sawit ke negara China hanya mencecah 2.8 juta tan. Walau bagaimanapun, jangkaan permintaan minyak sawit di China pada tahun 2025 dianggarkan sebanyak 6.1 juta tan, menunjukkan jurang sebanyak 3.3 juta tan yang perlu dipenuhi.
Pihak delegasi China turut memaklumkan bahawa syarikat-syarikat import, eksport dan pemprosesan minyak sawit di China pada asasnya tertumpu di wilayah Henan, Hebei, Jiangsu, Fujian, dan Guangxi. Syarikat-syarikat ini kemudiannya mengedarkan produk mereka ke wilayah-wilayah utama pertanian dan makanan di seluruh negara China.
Delegasi tersebut juga menerangkan kes penggunaan minyak sawit di China. Sebagai contoh, Wilayah Henan merupakan tempat bagi banyak syarikat pengguna akhir minyak sawit bertapis, seperti kilang mi segera Master Kong, Uni-President China, dan Baixiang, serta kilang makanan ringan seperti Weilong dan Midochi.
Mereka turut menyampaikan bahawa China merupakan satu-satunya negara di dunia yang mempunyai kategori industri lengkap (41 kategori industri, 191 kategori sederhana, dan 525 sub-kategori) dalam Klasifikasi Industri Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ini bermakna semua senario aplikasi hiliran produk sawit dan pelanggan boleh ditemui di tanah besar China, termasuk bahan api bio, makanan, makanan ternakan, produk industri, dan produk sampingan industri.
Kunjungan dan pembentangan ini membuka peluang perniagaan yang cerah untuk pengeksport minyak sawit Malaysia memperluaskan pasaran ke China, sekaligus memperkukuhkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara dalam industri minyak sawit.
KOSMA melihat inisiatif ini sebagai langkah penting dalam usaha mempromosikan minyak sawit Malaysia di peringkat antarabangsa dan memaksimumkan potensi pasaran China yang semakin berkembang.

Kongsikan