Pada 22 Oktober 2025. Koperasi Serbausaha Makmur (KOSMA) terus meluaskan jaringan antarabangsa apabila menerima jemputan rasmi daripada Konsulat Jeneral Republik Indonesia untuk menyertai Indonesia International Trade Fair and Convention (IITFC) yang berlangsung di Banten, Jakarta, Indonesia dari 15 hingga 19 Oktober 2025.
Selain penyertaan sebagai delegasi, KOSMA turut diberi penghormatan menghadiri Majlis Makan Malam Rasmi bersama Konsul Jeneral (KONJEN) Republik Indonesia. Kehadiran ini membuka ruang perbincangan lebih luas mengenai kerjasama dua hala terutama dalam sektor tenaga kerja.
Delegasi KOSMA ke konvensyen tersebut telah diketuai oleh YH Dato’ Haji Sabri bin Abdullah, Timbalan Pengerusi KOSMA, bersama Tuan Cr. Abdul Hamid bin Ghazali, Setiausaha KOSMA. Turut serta ialah Encik Muhamad Rizal bin Abdul Hadi, Pengurus Jabatan Tenaga Kerja Asing, serta Encik Mohd Firdaus bin Khalid dan Encik Mohd Faizal bin Suderman, yang mewakili KOSMA dalam sesi perbincangan dan jaringan strategik sepanjang program berlangsung.
Dalam sesi perbincangan di konvensyen tersebut, KOSMA membangkitkan beberapa perkara penting, khususnya berkaitan kelancaran dan keberkesanan proses mendapatkan tenaga kerja Indonesia yang berminat serta berkemahiran untuk bekerja di Malaysia. KOSMA turut menekankan keperluan mewujudkan saluran penyelarasan yang lebih sistematik bagi memastikan permohonan dan penempatan pekerja asing dapat dilakukan secara teratur, cepat dan telus.
Penyertaan ini mencerminkan komitmen KOSMA dalam memperkukuh hubungan kerjasama serantau serta memastikan keperluan tenaga kerja berkualiti dapat dipenuhi bagi menyokong operasi pelbagai sektor di Malaysia.










