Kuala Lumpur, 18 Disember 2025 – Koperasi Serbaguna Malaysia Berhad (KOSMA) telah menghadiri International Migrants Day and National Expatriates’ Day 2025 Programme yang berlangsung di G Tower, 199 Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, bermula jam 3.00 petang.
Program berprestij ini dianjurkan sebagai platform untuk menghargai sumbangan para migran dan ekspatriat dalam pembangunan ekonomi serta sosial negara, di samping mengukuhkan kerjasama antara agensi, majikan dan pihak berkepentingan.
KOSMA diwakili oleh Cr. Abdul Hamid bin Ghazali, Setiausaha KOSMA, Drs. Kamarazaman bin Zainal Abidin, Anggota Lembaga KOSMA, serta kakitangan KOSMA yang terlibat. Kehadiran delegasi KOSMA mencerminkan komitmen berterusan organisasi dalam menyokong agenda pengurusan tenaga kerja yang mampan dan beretika.
Sepanjang program, para peserta diberi pendedahan berkaitan isu-isu semasa migrasi, kebajikan pekerja asing dan peranan strategik majikan dalam memastikan kesejahteraan serta pematuhan perundangan. Program ini turut menjadi medium jaringan kerjasama antara sektor awam, swasta dan organisasi berkaitan.
Penyertaan KOSMA dalam program ini diharap dapat memperkukuh lagi peranan organisasi dalam pengurusan sumber manusia, khususnya berkaitan tenaga kerja migran, selaras dengan aspirasi KOSMA untuk terus bergerak seiring dasar dan keperluan semasa negara.






